Lawatan anak-anak KECAP Malaysia ke An-Nahl, PPSP, USM 28 Mei 2024, Selasa, 9 pagi hingga 1 tghari
Modul yang dibangunkan oleh KECAP Malaysia merangkumi 7 elemen penting iaitu S.P.E.C.I.A.L, di mana S ialah memfokus kepada STEM Enrichment Activities. Lawatan ini merupakan sebahagian dari elemen modul ini di mana anak-anak didedahkan kepada dunia sains, teknologi, dan kejuruteraan melalui pengalaman langsung dan aktiviti interaktif. Mereka tidak hanya belajar tentang proses penghasilan madu kelulut tetapi juga melihat bagaimana prinsip STEM diaplikasikan dalam kehidupan sebenar. Ini termasuk pemahaman tentang ekologi lebah, peranan penting lebah dalam pendebungaan, serta teknik pemeliharaan lebah yang inovatif dan lestari. Dengan pendekatan ini, anak-anak tidak hanya memperoleh pengetahuan akademik, tetapi juga mengembangkan kemahiran kritikal dan kreatif yang penting untuk masa depan mereka.
Perbincangan pertama untuk mengadakan program ini berlansung di An-Nahl pada 8 Mei 2024 bersama Dr. Rohimah Mohamud, selaku Presiden KECAP, Dr. Mohd. Zulkifli Mustafa, Pengasas An-Nahl, Dr. Lidawani Lambuk, SU KECAP dan Ms. Teha untuk kerjasama hala tuju projek KECAP Malaysia bersama An-Nahl.
Perbincangan kedua diadakan pada 26 Mei 2024 bersama bersama Dr. Rohimah Mohamud, Dr. Mohd. Zulkifli Mustafa, Dr. Ramlah Kadir selaku Pengarah Program dan Ms. Teha untuk memastikan kelancaran program.
Objektif lawatan anak-anak adalah untuk mencapai 3 matlamat utama iaitu berkisar kepada apa itu Saintis, memahami peranan lebah kelulut dalam ekosistem kita dan bagaimana kita boleh membantu kelestarian lebah kelulut. Objektif ini adalah untuk mencapai kerangka pertama modul KECAP iaitu 'STEM Enrichment Activities' dalam S.P.E.C.I.A.L.
1. Lawatan ini telah memberi peluang kepada anak-anak untuk memahami peranan penting saintis dalam bidang penyelidikan, khususnya dalam konteks pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Anak-anak telah berpeluang meneliti lebah kelulut secara langsung, memerhatikan nektar yang terkumpul di kaki mereka, dan memahami proses saintifik yang terlibat dalam kajian lebah. Pengalaman ini berjaya memupuk minat mereka dalam bidang sains dan penyelidikan sejak usia muda.
2. Peserta lawatan telah didedahkan kepada fungsi penting lebah dalam ekosistem, terutamanya dalam proses pendebungaan yang kritikal untuk kelangsungan banyak jenis tumbuhan. Selain itu, mereka mempelajari tentang produk lebah seperti madu dan roti lebah, serta kepentingannya kepada kesihatan manusia. Aktiviti ini telah memberikan penghargaan yang mendalam terhadap peranan lebah dalam kehidupan seharian dan menekankan aspek teknologi dalam proses penghasilan madu.
3. Lawatan ini juga menekankan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah SWT dalam menjaga kelestarian makhluk kecil seperti lebah. Anak-anak diajar tentang pentingnya memelihara alam sekitar dan memastikan kelangsungan hidup lebah agar kita terus dapat menikmati madu asli yang dihasilkan. Melalui pendekatan ini, peserta telah memahami nilai keagamaan dan etika dalam menjaga alam sekitar, sejajar dengan prinsip-prinsip STEM yang mementingkan keseimbangan antara pembangunan teknologi dan kelestarian alam.
Anak-anak KECAP Malaysia begitu teruja dengan program lawatan yang julung kalinya diadakan. Terima kasih kami ucapkan kepada Dr Zul (a.k.a The BeeMan), Dr. Ramlah, Ms. Teha selaku moderator yang sangat bersemangat waja, semua facilitator yang terlibat dan juga semua team An-Nahl. Tidak dilupakan juga kepada Dr. Rohimah Mohamud, Dr. Lidawani Lambuk, Dr. Norhayati Yusop dan semua team KECAP Malaysia. Tahniah diucapkan atas kejayaan program ini.